
Salam Keluarga Malaysia dan Salam Sabah Maju Jaya
Selama dua tahun, kita telah didedahkan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac 2020, dasar Bekerja Dari Rumah (Work From Home) serta amalan Prosedur Operasi Standard (SOP). Usaha ini bagi mengekang sekaligus memerangi penularan pandemik COVID-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Kita juga memperkenalkan Strategi Teras Perkhidmatan Awam Negeri : 7T Hala Tuju JPAN 2022 iaitu Tangkas, Tepat, Telus, Tertib, Tegas, Tanggungjawab, dan Terima Kasih. Strategi teras ini merupakan pendekatan baharu bagi melestarikan perkhidmatan awam dan mensejahterakan rakyat selaras dengan konsep Bekerja Tanpa Pejabat.
Bagi mengadaptasi norma baharu dalam perkhidmatan dan untuk mengimbangi agenda pendigitalan negeri, saya mengajak semua anggota perkhidmatan awam negeri Sabah untuk Bertindak 24/7. Ini merupakan anjakan daripada pendekatan yang diperkenalkan dalam tahun 2021 iaitu Berfikir 24/7 selaku penjawat awam yang proaktif dan bertanggungjawab.
Selamat Tahun Baharu 2022, Bersama Kita Cemerlang, Sabah Maju Jaya
Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sekian, terima kasih.
Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai, JP
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah