Assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh,
1. Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, saya berpeluang untuk mencatatkan sepatah dua kata sempena Tahun Baharu 2020. Tahniah kepada seluruh warga Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah kerana telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan mencatatkan lebih daripada 100% KPI yang ditetapkan dalam Tahun 2019.
2. Untuk mencapai visi organisasi berprestasi tinggi, kita telah menerap dan mengamalkan budaya `menyantuni pelanggan’, `turun padang’ dan `berfikir dan bertindak 24/7’. Program Outreach yang diperkenal dan dikendalikan sepanjang Tahun 2019 menggalakkan amalan budaya berprestasi tinggi (mendekati pelanggan di lapangan) agar kita dapat menjalankan amanah dan tangggungjawab dengan telus dan berintegriti.
3. Dari segi pengurusan sumber manusia, peningkatan kerjaya dan pertukaran pegawai dijalankan secara lebih dinamik pada Tahun 2019. Seramai 308 pegawai gunasama terlibat dengan pertukaran dan 729 orang pegawai menikmati peningkatan kerjaya. Peningkatan upaya penjawat awam merupakan tunggak utama kita pada Tahun 2020. Program Latihan dalam Perkhidmatan yang menekankan pengetahuan baharu dan pendedahan global telah berjaya dilaksanakan dalam Tahun 2019 dengan seramai 72 orang pegawai ke institusi-institusi terkemuka dunia di luar negara.
4. Satu inisiatif baharu Tahun 2020 ialah Pendigitalan Perkhidmatan Awam Negeri yang akan mencorakkan cara kita berfikir, bekerja dan bertindak. Inisiatif ini diyakini akan meningkatkan produktiviti dan menghasilkan impak yang tinggi kepada perkhidmatan awam. Sejajar dengan ini, Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Negeri akan ditubuh di jabatan ini untuk memastikan semua usaha pendigitalan tercapai dalam tempoh terdekat.
5. Sempena tahun baharu ini juga, saya ingin mengingatkan diri saya dan semua agar sentiasa bijaksana mengurus sumber yang diperuntukkan, memaksimakan penggunaan teknologi dan membudayakan inovasi serta kreativiti untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Akhir kata, semoga tahun baharu ini kita akan menyaksikan satu lagi legasi tercipta dalam usaha murni untuk merealisasikan agenda Kerajaan.
Selamat Tahun Baharu 2020
Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah