Assalamualaikum, Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Sabah Maju Jaya.
8 Julai 2026 - Kunjungan Hormat dan Lawatan Rasmi YB Datuk Zainudin bin Aman, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah diiringi oleh YBhg. Datuk Norlijah binti Haji Danin, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) telah diadakan pada 8 Julai 2026 sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan kementerian dalam memperkasakan agenda pembangunan luar bandar.
Ketibaan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Dan YBhg. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah telah disambut oleh Setiausaha Tetap KPLB, YBhg. Datuk Hajah Myrna Jimenez, bersama barisan pegawai kanan serta warga KPLB.
Satu taklimat khas telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap KPLB dan tumpuan diberikan kepada isu-isu utama kementerian, termasuk pengisian jawatan, perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), pelaksanaan projek infrastruktur luar bandar, pembangunan kemahiran masyarakat serta isu berkaitan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Sabah.
Dalam sesi tersebut, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah turut menekankan kepentingan penyediaan Pelan Strategik Kementerian bagi tempoh lima (5) tahun sebagai panduan untuk memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
Turut hadir daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) ialah Puan Aidah Haji Awang, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan); Puan Maznah binti Maun, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Awam; Tuan David Augustine, Pengarah Bahagian Kerajaan Digital; serta Puan Martina Jublee, Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi.
Lawatan ini diharap dapat memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Negeri dan KPLB dalam merealisasikan pembangunan luar bandar yang lebih mampan demi kesejahteraan rakyat Sabah.