Assalamualaikum, Salam Sejahtera, Salam Malaysia MADANI dan Salam Sabah Maju Jaya

Kota Kinabalu, 9 Julai 2026 – Kunjungan Hormat YB Datuk Zainudin bin Aman, Setiausaha Kerajaan Negeri, diiringi YBhg.Datuk Norlijah binti Haji Danin, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) ke Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) telah diadakan di Bilik mesyuarat Utama KPSTI. Delegasi telah disambut oleh YBhg. Datuk Hassan Mahali, Setiausaha Tetap KPSTI. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Dr. Ahemad bin Sade, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), YBhg. Datuk Mohd. Hanafiah bin Mohd. Kassim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Puan Doria Tai Yun Tyng, Timbalan Setiausaha Tetap I KPSTI, Encik Shafaruddin bin Halide, Timbalan Setiausaha Tetap II KPSTI.
Sesi taklimat khas telah disampaikan oleh Setiausaha tetap KPSTI berkenaan visi, misi, fungsi serta skop tanggungjawab kementerian dalam menerajui pembangunan pendidikan, sains, teknologi dan inovasi di negeri Sabah. Turut dibentangkan usaha memperkasa bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) melalui pembangunan Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah bagi menyokong pelaksanaan dasar 60:40 aliran sains dan sastera. Selain itu, beliau turut memaklumkan perancangan untuk memperluaskan pembangunan pusat sains di seluruh Sabah bagi meningkatkan akses pendidikan berteraskan STEM kepada masyarakat. Seterusnya, beliau membentangkan beberapa program utama yang akan dilaksanakan pada tahun 2026, antaranya STEM Explorer Sabah, Penyelidik Cilik, Astropiknik, Tayang dan Inspirasi serta Ekosistem STEM Explorer Sabah yang bertujuan memupuk minat serta meningkatkan penglibatan pelajar dan masyarakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Di samping itu, beliau turut menerangkan pelaksanaan inisiatif pendigitalan negeri melalui Program e-Desa yang menawarkan kursus ICT dengan kerjasama AMC College bagi meningkatkan literasi digital masyarakat luar bandar. Taklimat turut merangkumi fungsi dan peranan agensi di bawah KPSTI, termasuk Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Teknologi Digital dan Inovasi, Perpustakaan Negeri Sabah serta Sabah Net Sdn. Bhd. dan agensi di bawah Kementerian KPSTI dalam menyokong agenda pembangunan modal insan dan transformasi digital negeri.
Secara keseluruhannya, kunjungan hormat ini telah mencapai objektifnya sebagai platform perkongsian maklumat mengenai dasar, inisiatif dan hala tuju strategik KPSTI, di samping memperkukuhkan hubungan kerjasama antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) dan KPSTI.
Turut hadir dalam kujungan hormat ini Puan Aidah Haji Awang, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPANS, Encik David Augustine, Pengarah Bahagian Kerajaan Digital JPANS, Puan Maznah binti Maun, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Awam JPANS, Puan Martina Jublee, Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi JPANS, Dr. Kamsiah binti Ibrahim, Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, Encik Kamaltan bin Karimin, Timbalan Pengarah Jabatan Teknologi Digital dan Inovasi, Encik Chin Kah Yi, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Net Sdn. Bhd., Puan Uliantie Sarjuni, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), serta pegawai-pegawai kanan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, JPANS dan KPSTI.