Objektif lawatan adalah untuk berkongsi kaedah pelaksanaan dan untuk menandaaras Sistem Pengurusan Prestasi termasuk pelaksanaan Dasar Pemisah dalam perkhidmatan awam Negeri Sarawak.
Setibanya di Kuching, rombongan JPANS disambut oleh 20 orang delegasi UPPSM yang diketuai sendiri oleh YBhg. Datu Haji Ismail bin Haji Mohamad Hanis, Pengarah UPPSM.
Sesi perkongsian oleh UPPSM telah diketuai oleh Puan Sharifah Rohana binti Datu Wan Alwi, Timbalan Pengarah UPPSM dan Puan Elvy Alfisa binti Jamadi, Ketua Pasukan Pengurusan Penilaian Prestasi.
Dalam pada itu, topik perkongsian lain yang turut diketengahkan semasa lawatan tersebut ialah pengalaman penggunaan Balanced Scorecard for Sarawak Civil Service (SCS Scorecard) untuk mengukur pencapaian agensi negeri dan pengenalan asas berkenaan Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) yang sedang berkuat kuasa.
Pihak JPANS Sabah berkesempatan menyaksikan demonstrasi sistem yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk tujuan penilaian prestasi dan SCS Scorecard serta turut diiring untuk membuat lawatan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Rombongan pegawai JPANS diketuai oleh Puan Aidah binti Haji Awang, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Awam JPANS, Puan Mary Paul, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JPANS, Puan Maznah binti Mohd Maun, Ketua Penolong Pengarah, Encik Nazri bin Marin dan Encik Mohd Szami Solehin bin Jasni.


