24 OKT - Bahagian Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) telah menganjurkan Program Pemantapan Pengurusan Sumber Manusia dan Majlis Pentauliahan Pengurus Sumber Manusia pada 09 hingga 10 Oktober 2023 bertempat di The Pacific Sutera Hotel. Program Pemantapan Pengurusan Sumber Manusia merupakan inisiatif Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri sebagai platform bagi membincangkan isu dan seterusnya merangka strategi pemantapan pengurusan sumber manusia perkhidmatan awam negeri secara kolektif antara pengurus-pengurus sumber manusia.
Objektif utama program ini untuk memperkukuhkan kerjasama dan komunikasi sesama Pengurus Sumber Manusia dan memberi motivasi kepada Pengurus Sumber Manusia untuk terus komited menjadi pentadbir dalam perkhidmatan awam negeri. Selain itu, program ini turut membantu Pengurus Sumber Manusia mengenalpasti kelemahan/kekurangan pengemaskinian maklumat SM2 di agensi masing-masing.
Program ini dimulakan dengan Klinik SM2 pada 9 Oktober melibatkan 22 agensi bagi membantu pemurnian data SM2 agensi masing-masing. Manakala pada 10 Oktober 2023 seramai 132 Pengurus Sumber Manusia dari semua agensi telah menghadiri Program Pemantapan Pengurusan Sumber Manusia yang dimulai dengan sesi perkongsian bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPANS), diikuti sesi Team Building dan seterusnya sesi Motivasi dengan tajuk "Serve with Purpose" oleh Tuan Haji Fadzli Yusof.
Acara kemuncak pada sebelah petang iaitu Majlis Pentauliahan Pengurus Sumber Manusia yang telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin bin Aman dan seramai 132 Pengurus Sumber Manusia setiap agensi telah menerima sijil Pentauliahan Pengurus Sumber Manusia. Turut hadir Puan Hajah Junaidah Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Puan Aidah Haji Awang, Pengarah Perkhidmatan Awam dan Pengarah-Pengarah Bahagian Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri.
Laporan disediakan oleh - Bahagian Perkhidmatan Awam negeri


