Kota Kinabalu, 03 Mac 2020 - Seramai 1,270 pegawai awam telah menghadiri Majlis Amanat YB. Datuk Sr. Haji Safar bin Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang telah diadakan di Auditorium Utama, Aras 4, Blok A, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. Majlis ini telah dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan dan pegawai-pegawai perkhidmatan awam negeri.
Dalam amanat yang julung kalinya diadakan oleh YB. Datuk Sr. Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu ini, beliau telah memperkenalkan dan menggesa pelaksanaan inisiatif Pendigitalan ke era Kerajaan Pintar (Smart Government) yang akan berlangsung dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini.
Visi Kerajaan Digital ini berlandaskan motto beliau, iaitu 5A yang membawa akronim "Accessible by Anyone at Anytime, Anywhere, by Any Mobile Device". Pelaksanaan dan pembangunan satu sistem bersepadu yang merentasi pengguna dan platform yang memudahkan perkongsian data diantara G2G (Government to Government), G2B (Government to Business) dan G2P (Government to People).
Kerajaan Sabah akan membangunkan satu platform digital untuk memudahkan perkongsian data menerusi inisiatif Pendigitalan Ke Era Kerajaan Digital, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong.
“Bagi merealisasikan hasrat ini, saya telah menetapkan tempoh jangka masa pendek antara satu hingga enam bulan ini untuk fasa ‘Automasi Digital’ dan seterusnya melaksanakan ‘Transformasi Digital’ sehingga 2021.
“Untuk tempoh 2022 sehingga 2024 adalah fasa ‘Inovasi Digital’,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada pejawat awam negeri di sini, hari ini.
Katanya bagi membuktikan kesungguhan dan komitmen untuk mentransformasikan sistem penyampaian perkhidmatan di kementerian, jabatan, pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan, beliau telah mewujudkan Bahagian Pendigitalan Kerajaan.
“Selain itu saya memastikan Program Pendigitalan sebagai satu daripada agenda utama semua Setiausaha Tetap kementerian dalam mempertingkat kecekapan dan sistem penyampaian kementerian kepada rakyat dan pihak berkepentingan,” katanya.
Sehubungan itu, YB SKN juga meminta semua pejawat awam di negeri ini bersedia untuk menerokai kehebatan sistem pendigitalan pada masa kini dan akan datang.
“Saya mempunyai harapan dan aspirasi yang tinggi untuk memastikan strategi Kerajaan Digital berdaya tahan dan siap siaga untuk mengadaptasi perubahan-perubahan yang pasti akan ada dalam menjangka keperluan rakyat,” katanya


