YAB Datuk Seri Panglima Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri, telah mengadakan lawatan sehari ke Sabah pada 8 Januari 2022 (Sabtu).
Perdana Menteri selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 11.30 pagi dengan menaiki pesawat khas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Dr Jeffery G. Kitingan, Timbalan Ketua Menteri serta beberapa kenamaan yang lain.
Perdana Menteri dan Ketua Menteri seterusnya mendengar Taklimat Tertutup Pengurusan Bencana Banjir dan Penyelarasan Maklumat Bencana Negeri yang disampaikan oleh YB Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri, sebelum bertolak menghadiri Program Lawatan Pasca Banjir di Kota Marudu dan Pitas menggunakan helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Di Kota Marudu, Perdana Menteri bersama rombongan dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan menyantuni mangsa banjir dan menyampaikan bantuan di Dewan Komuniti Kota Marudu. Manakala di Pitas, Program Lawatan Pasca Banjir itu diadakan di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Pitas.
Perdana Menteri dan rombongan seterusnya terbang kembali ke Kota Kinabalu dan mendarat pada jam 4 petang sebelum berlepas pulang ke Subang pada Jam 4.30 petang tadi.
Turut hadir sempena lawatan sehari Perdana Menteri tadi ialah YB Datuk Shahelmy Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, YB Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah dan beberapa jemaah menteri Kabinet Negeri, YBhg. Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai, JP, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, serta YBhg Datuk Ag Shahminan bin Datuk Ag Sahari, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan.