Seramai 42,097 wanita di negeri ini mendapat manfaat menerusi Inisiatif Bantuan e-Kasih Dana Caruman i-Suri (BAIDURI) yang membabitkan peruntukan sejumlah RM2,525,820.00.
Ketua Menteri YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor berkata, BAIDURI merupakan bantuan Kerajaan Negeri Sabah dalam bentuk dana awal caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off berjumlah RM60.00 seorang kepada wanita dalam kategori e-Kasih yang disasarkan.
Katanya, inisiatif ini diperkenalkan bagi memastikan kesejahteraan golongan suri rumah sekaligus mengiktiraf sumbangan mereka kepada ahli keluarga dan pembangunan negara.
“Dengan melaksanakan inisiatif BAIDURI ini kerajaan negeri telah memberi peluang wanita e-Kasih ini mendapat manfaat sebanyak RM480 seorang daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Saya berharap pelaksanaan inisiatif ini memberi peluang kepada golongan wanita terutama sekali suri rumah untuk menceburi bidang perniagaan dan membantu mereka menikmati keselamatan sosial yang berkualiti selain meningkatkan keselamatan kewangan seperti yang dinikmati oleh ahli KWSP yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Inisiatif Bantuan e-Kasih Dana Caruman i-SURI (BAIDURI) di Dewan Bankuasi Utama, Aras 3, Menara Kinabalu, pada Selasa lepas.
YAB Ketua Menteri berkata, manfaat lain yang diperoleh menerusi inisiatif ini adalah untuk memberi perlindungan kepada kehidupan wanita seperti bantuan hilang upaya, bantuan kematian serta pengeluaran caruman pada usia 50,55 dan 60 tahun.
Sehubungan dengan itu, pelancaran BAIDURI ini jelas membuktikan keperihatinan kerajaan dalam membantu memperkasa wanita sebagai nadi pembangunan masyarakat dan negara.
Justeru, beliau meminta semua wanita peka terhadap setiap perubahan, memanfaatkan peluang yang disediakan serta menimba seberapa banyak ilmu menerusi apa juga program yang dilaksanakan kerajaan.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, YB Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Datuk Jahid Jahim, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Seri Panglima Sr. Safar bin Haji Untong, JP, Setiausaha Persekutuan Sabah, YBhg. Dato’ Sarul Bahiyah Abu, dan Peguam Besar Sabah YBhg. Datuk Nor Asiah Mohd Yusof.