Kerajaan Negeri mengalu-alukan inisiatif Syarikat Linaco Resources Sdn Bhd untuk bekerjasama mewujudkan ladang tanaman pokok kelapa komersial di sekitar Paitan.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri YB Datuk Dr Ronald Chia Ming Chen berkata, inisiatif dibawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya ini berupaya merangsang sekaligus memperkasakan sosioekonomi setempat.
“Menerusi pembukaan ladang tanaman pokok kelapa di kawasan pantai barat ini, kita akan dapat melonjakkan ekonomi setempat terutama penduduk di sekitar kawasan Paitan.
“Kita harap penduduk di kawasan yang terlibat seperti Paitan, Kota Marudu, Pitas, dan Kudat dapat beramai-ramai berkecimpung dalam kegiatan industri hiliran berasaskan kelapa ini,” katanya ketika ditemui Pemberita PANS semasa kunjungan rombongan Syarikat Linaco Sdn Bhd kepada Sekretariat SMJ, di Smart Library, pada pagi tadi.
Sehubungan dengan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Linaco atas kesudian berkolaborasi dengan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang diaspirasikan oleh YAB Ketua Menteri Sabah.
Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Linaco Resources Sdn Bhd Mark Law berkata, Majlis pecah tanah ladang berasaskan pokok kelapa itu dijangka akan diadakan pada 19 Mac depan.
Katanya, dengan wujudnya ladang penanaman secara komersial itu, kegiatan berasaskan hiliran akan lebih berkembang luas sekaligus meningkatkan pengeluaran hasil buah kelapa di negeri ini.
“Setelah kita dapat meningkatkan pengeluaran hasil buah kelapa, kita akan dapat memenuhi permintaan setempat dalam pasaran negara tanpa perlu lagi mengimport dari luar negara.
“Justeru, kita akan memastikan petani-petani tempatan di Sabah akan diberikan bimbingan serta tunjuk ajar mengenai cara meningkatkan mutu pengeluaran berasaskan buah kelapa,” jelasnya.
Selain itu, pihaknya akan membina kilang pemprosesan buah kelapa yang akan menjadi kilang kelapa komersial kedua di Malaysia.
Katanya, pembinaan kilang itu berupaya meningkatkan hub pengeluaran produk berasaskan kelapa daripada negeri Sabah, sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat terutama anak-anak muda.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) Tuan Ramlee Haji Kariah, Pengarah Governan dan Korporat Tuan Masawi Haji Salleh serta Pengarah Bahagian Prestasi Agensi Awam Puan Celestina Aron.