24 OKT - Selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk memperkasakan Perkhidmatan Pejabat Daerah di seluruh Malaysia, Majlis Amanat dan Penyerahan Watikah Pelantikan seramai 55 orang Pegawai Lantikan Kontrak Jurutera Gred J41 dan Penolong Jurutera Gred JA29 di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Negeri Sabah telah disempurnakan oleh YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) pada 9 Oktober 2023 (Isnin) bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu.
Pegawai-pegawai yang akan ditempatkan di Pejabat Daerah seluruh Sabah berperanan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan teknikal bagi memastikan projek-projek pembangunan daerah dilaksanakan dan disiapkan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Turut hadir dalam majlis tersebut Yang Berbahagia Datuk Zainudin bin Aman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah telah menerima dokumen penyerahan pegawai-pegawai ke Perkhidmatan Awam Negeri Sabah daripada Yang Mulia Raja Muhammad Azhan Shah Raja Muhammad, Timbalan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Rentetan daripada itu, Pada 10 Oktober 2023 (Selasa), satu sesi taklimat berkenaan Struktur Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah dan Tadbir Urus Pentadbiran Daerah kepada pegawai-pegawai telah diadakan di The Pacific Sutera Hotel anjuran Bahagian Perkhidmatan Awam, JPANS. Program yang dihadiri oleh Puan Hajah Junaidah Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Puan Aidah Haji Awang, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Awam, JPANS dan Encik Norsafi bin Dukah, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah serta wakil Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Negeri Sabah bertujuan mempersiapkan pegawai-pegawai sebelum berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Negeri.
Pegawai-pegawai kemudian telah melaporkan diri ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah sebelum ditempatkan ke Pejabat-Pejabat Daerah di seluruh Sabah.
Laporan disediakan oleh - Bahagian Perkhidmatan Awam


