12 Nov – Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah telah menandatangani kontrak servis latihan dan konsultasi antara JPAN dan SIRIM Academy Sdn Bhd di Smart Library JPANS, aras 14, blok A, Menara Kinabalu pagi tadi.
Majlis menandatangani kontrak tersebut adalah di antara JPANS yang diwakili sendiri oleh YBhg. Datuk Zainudin bin Aman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri bersama dengan SIRIM Academy Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Encik Nik Sazali bin Nik Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Academy dan masing-masing disaksikan oleh YBhg. Datuk Robert Stidi, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan dan Puan Rommella Osmand, Pengarah SIRIM Negeri Sabah.
Majlis pada pagi ini bertujuan untuk menandakan bermulanya kerjasama strategik antara jabatan ini dan juga SIRIM Academy Sdn. Bhd melibatkan perkhidmatan rundingan dan latihan bagi tujuan pembangunan kapasiti kesemua pegawai yang akan menjadi Person in Charge (PIC) dalam tempoh pensijilan dan pelaksanaan MS ISO 9001:2015 (QMS) dan MS ISO 37001:2016 (ABMS).
Selain daripada itu, latihan yang diberikan juga adalah bertujuan untuk meningkatkan efisiensi, kompetensi dan produktiviti PIC yang dilantik agar kesemua program dan aktiviti yang melibatkan pensijilan ini akan berjalan dengan lancar.
Dalam ucapan alu-aluan yang sama YBhg. Datuk KP turut menekankan bahawa pensijilan MSISO ini adalah usaha susulan jabatan ini untuk mempertingkatkan tahap penyampaian perkhidmatan sekaligus mendokong aspirasi PSJPANS 2024-2026 yang menekankan prinsip nilai bersama C.A.R.E.
“C.A.R.E merujuk kepada C: Citizen-Centric : Meletakkan rakyat di tengah-tengah segala yang kita lakukan. Setiap dasar, proses, dan perkhidmatan harus diselaraskan dengan keperluan dan harapan mereka. A: Action-Oriented: Perkhidmatan awam memerlukan pendekatan yang proaktif dan berfokus pada hasil. Bersikap berorientasikan tindakan bagi memastikan kita menghadap cabaran secara langsung dan memberikan penyelesaian yang memberi impak.
R:Respect: Saling menghormati adalah asas kepada mana-mana organisasi yang berjaya. Ia memupuk budaya profesionalisme, kerjasama, dan keterangkuman. Dan terakhir, E: Empower Mencipta persekitaran di mana setiap individu merasa dihargai dan mampu memberi sumbangan yang bermakna sama ada melalui latihan, kerjasama, dan komunikasi terbuka, demi memacu perubahan dalam jabatan ini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
YBhg. Datuk KP juga turut memperingatkan agar semua kakitangan memberi komitmen kepada pelaksanaan pensijilan MS ISO ini agar semuanya berjalan lancar dan menepati perancangan garis masa yang telah ditetapkan.
Hadir sama Puan Hajah Junaidah Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan, pengarah-pengarah bahagian dan pegawai serta delegasi SIRIM Academy Sdn. Bhd.
Sekian, terima kasih


