29 NOV - Bahagian Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) telah melaksanakan Program Orientasi Perkhidmatan Up-Skilling Dan Re-Skilling Pegawai Pembangunan Siri 1 1024/2025 pada 26 sehingga 28 November 2024 (Selasa sehingga Khamis) bertempat di Bilik Kuliah, JPANS.
Program yang dilaksanakan dengan kolaborasi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) adalah julung kalinya diadakan secara inklusif untuk Pegawai Pembangunan peringkat Kementerian Negeri Sabah, selaku pegawai yang bertanggungjawab dalam menyelaras dan mengawal selia program/projek jabatan dan agensi di bawah seliaan pihak kementerian masing-masing.
Perasmian program telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Jasmine Teo, Pengarah, Unit Perancang Ekonomi Negeri. Turut hadir Puan Hajah Junaidah binti Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, JPANS, Puan Nurvina Intanbaizura binti Najib, Timbalan Pengarah Makro, UPEN, Puan Maznah binti Mohd Maun, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Awam, JPANS dan Encik Rijun bin Sutuh, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Bajet Dan Pemantauan, UPEN.
Seramai 31 orang peserta daripada seluruh Kementerian di negeri Sabah telah mendapat manfaat yang menyasarkan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan program/projek di negeri Sabah secara keseluruhannya serta sebagai salah satu langkah persediaan awal sebelum bermulanya Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) Negeri Sabah. Program juga disertai oleh pegawai daripada JPANS dan UPEN.
Sekian, terima kasih.


